Bayangkan sayangnya mereka terhadap sejarah mereka. Masjid ini baru hanya 40 tahun. Tetapi Kerajaan Terengganu telah merobohkan dua masjid yang telah berumur lebih 100 tahun
**********
LABUAN, Jan 19 (Bernama) — Pihak berkuasa tempatan terutamanya Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan Labuan perlu mengkaji semula cadangan untuk merobohkan masjid tertua di Labuan, Masjid Jamek Adam Kampung Lajau, kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal.
Beliau berkata masjid, yang berusia lebih empat dekad itu, mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 16 Dis 1967.
“Kita tidak mempunyai banyak struktur bersejarah di pulau ini, oleh itu apa yang kita ada perlulah dipelihara malah masjid itu juga boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan,” katanya di sini Selasa.
Yussof sebaliknya mencadangkan projek pelebaran jalan dilencongkan dan masjid itu diubah menjadi pusat pengajian agama atau perpustakaan.
Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan telah memberikan kelulusan pada lewat tahun 2008 untuk merobohkan masjid itu bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan, namun majlis itu menetapkan masjid hanya akan diroboh selepas sebuah masjid baru siap dibina di sebuah tapak baru.
Cadangan untuk merobohkan masjid itu sebelum ini mendapat bantahan penduduk yang mahu ia terus dikekalkan.
– BERNAMA

