Ini adalah surat kami yang telah dihantar kepada YAB Menteri Besar Terengganu dengan merujuk kepada keratan akhbar berikut:
Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar & Jalan Banggol, Kuala Terengganu
d/a Alam Akademik Sdn Bhd, No. 12 Jalan Bandar, 20100 Kuala Terengganu
Tel: 09-623-1110 Fax: 09-623-0111
Blog: https://warisantrengganu.wordpress.com dan http://alamakademik.wordpress.com
*****************************************************************************
10 Ogos, 2009
Y.A.B. Dato’ Ahmad bin Said
Pengerusi
Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT)
Pejabat Perbendaharaan Negeri
Tingkat 4, Wisma Darul Iman
20592 Kuala Terengganu
YAB Datuk Seri,
Per: Jawapan Terhadap Kenyataan Ahli Lembaga LTAWNT Seperti Yang Dilaporkan Di Dalam Harian Metro Bertarikh 21 Julai 2009
Merujuk kenyataan yang telah dibuat oleh salah seorang Ahli Lembaga Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) yang juga Pegawai Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, yang telah disiarkan dalam Harian Metro 21 Julai 2009 (seperti di bawah ini), Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar & Jalan Banggol, Kuala Terengganu ingin menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan menyanggahi fakta.
Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar & Jalan Banggol, Kuala Terengganu ingin merakamkan rasa kesal kami terhadap kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab yang telah dikeluarkan oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri. Sebagai pegawai tinggi kerajaan negeri beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang benar dengan sokongan fakta. Kenyataan sebegitu dan disiarkan oleh akhbar semestinya penuh bertanggung-jawab.
Berikut adalah sanggahan kami yang mewakili para peniaga yang terlibat berhubung kenyataan beliau (mengikut urutan nombor yang dicatatkan pada petikan akhbar di atas):
- Pada amnya, para peniaga menyambut baik kenyataan ini kerana kesediaan LTAWNT melanjutkan tempoh notis, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Para peniaga telah pun mengusahakan pelbagai cara melalui pelbagai saluran untuk memohon serta merayu agar tempoh yang terlalu singkat itu dilanjutkan. Jawapan rasmi menolak rayuan mereka dari LTAWNT telah pun diberikan pada 28 Julai. Jawapan menolak rayuan tiba ke tangan peniaga tidak sampai 24 jam selepas mereka berjumpa dengan Haji Talaha Ali, Setiausaha LTAWNT, untuk menyerah surat rayuan mereka. Malah surat sokongan dari Adun Bandar, YB Toh yang juga merupakan seorang exco kerajaan negeri tidak dipandangpun oleh LTAWNT. Apakah nilai budi bicara yang disebutkan ini?
- Kenyataan bahawa para peniaga “sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa” adalah suatu pembohongan yang amat nyata. Semasa sesi perjumpaan para peniaga dengan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang diadakan pada 6 Ogos 2009, kesemua para peniaga dialog sebulat suara menafikan kenyataan LTAWNT ini. Tidak pernah ada sebarang peringatan seperti ini dikeluarkan oleh LTAWNT kepada para peniaga. Malah kebanyakan peniaga sentiasa menanyakan kepada kakitangan LTAWNT yang datang setiap bulan untuk mengutip sewaan bulanan dan akan sentiasa mendapat jawapan yang menyatakan bahawa LTAWNT belum ada sebarang keputusan untuk pengosongan premis. Pembohongan ini hanya dapat disangkal oleh LTAWNT dengan menunjukkan bukti edaran surat-surat atau notis-notis yang dikatakan telah dikeluarkan sebelum ini.
- Pada para ini, beliau mengakui bahawa tapak yang hendak dibangunkan ini masih belum pun mendapat kelulusan MBKT. Maka kenapakah perlu menghalau para peniaga untuk mengosongkan premis tersebut pada ketika pelan pembangunan masih belum diperolehi. Bukan sahaja tidak perlu premis dikosongkan malah amat tidak munasabah untuk LTAWNT mengarahkan pengosong tersebut dalam tempoh yang singkat dan dalam pada para peniaga bersedia untuk sambutan Ramadhan dan Syawal. Sepatutnya, pemaju mendapatkan kelulusan MBKT terlebih dahulu kemudian barulah diberikan tempoh sesuai kepada para peniaga untuk mengosongkan premis.
- Datuk Mazlan turut mengatakan bahawa kerajaan tidak menyediakan pampasan kerana kawasan terbabit adalah milik kerajaan. Seorang bekas pemilik bangunan tersebut menyatakan bahawa semasa pengambilalihan premis tersebut 15 tahun lalu, tidak ada pemilik yang secara sukarela menyerahkan hak-milik mereka kepada kerajaan. Kesemua mereka pada asalnya menolak tawaran kerajaan kerana antaranya:
- Mereka memiliki tapak yang strategik, di tengah-tengah bandar bersebelahan Pasar Kedai Payang pusat membeli-belah utama bandar Kuala Terengganu – kenapa sesudah itu hendak diserahkan kepada orang lain?
- Nilai pampasan yang tidak sepadan. Para pemilik premis dibayar sekitar RM200,000 pada masa itu. Jika dikira mengikut kaki persegi ianya hanya sekadar lebih kurang RM70-RM75 sekaki persegi. Nilai ini adalah terlalu jauh dari nilai komersial memandangkan ianya adalah betul-betul di tengah pusat bandar yang menurut nilaian mereka yang arif ialah melebihi RM100 sekaki persegi.
- Bayaran yang diberi sebagai pampasan hanyalah untuk nilai tanah. Di dalam perbincangan dulu, kerajaan hanya membayar untuk nilai tanah dan tidak untuk bangunan. Malah di antara janji Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar ialah para pemilik akan diberi keutamaan apabila projek Paya Keladi siap nanti dan ditawarkan dengan harga istimewa kepada pemilik premis yang kerajaan ambilalih ini. Janji-janji ini adalah dikira suatu janji rasmi kerajaan yang dibuat oleh Menteri Besar ketika itu.
- Kenyataan bahawa LTAWNT “telah mencadangkan beberapa kawasan tetapi mereka lewat bertindak dan masih enggan berpindah” adalah satu lagi pembohongan yang nyata. Sebagai Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar & Jalan Banggol, Kuala Terengganu, kami ingin melihat bukti-bukti tersebut yang jelas menyatakan “cadangan-cadangan yang telah diunjurkan kepada kami sebelum ini.” Kami yakin bahawa adalah mustahil untuk LTAWNT untuk membuktikan kenyataan ini kerana cadangan tersebut tidak pernah datang dari LTAWNT secara rasmi.
Dengan ini, sebagai mewakili para peniaga yang terlibat, Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar & Jalan Banggol, Kuala Terengganu memohon jasabaik YAB Dato’ untuk menangguhkan arahan notis pengosongan tersebut buat seketika ini agar dapat diadakan suatu perbincangan untuk mencari suatu penyelesaian yang munasabah.
Memetik kata-kata Haji Ahmad Omar, yang pernah menjadi Setiausaha Politik MB Tan Sri Ibrahim Fikri dan juga sebagai YB Adun Binjai (Bukit Payung) dan juga pemilik kedai buku Alam Akademik (di antara peniaga yang terlibat dengan arahan tersebut), mengatakan sebagai “kerajaan memerintah harus memahami nilai sumbangan kami para peniaga yang sudah bergenerasi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Kerajaan harus juga peka dengan “sumbangan kedai seperti Alam Akademik yang telah berbakti dalam pembinaan budaya ilmu untuk orang Terengganu keseluruhannya seabad lamanya semenjak dari Keda Pok Loh Yunang”.
Sekian, wassalam
A. Karim Omar
Koordinator
Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol, Kuala Terengganu
Tel: 019-3199788
Emel: akarimomar@yahoo.com
[…] tiada papan tanda apakah bermakna projek belum diluluskan? Mungkin benar belum ada kelulusan (seperti mana kata Dato Mazlan Ngah – ahli lembaga LTAWNT). Kalau tiada kelulusan lagi – kenapa tidak sabar-sabar nak halau […]
itulah masalahnya jika orang2 kanan dalam jabatan kerajaan anak2 orang kaya yang tak pernah susah,dalam hati dia tiada apa yang perlu diresaukan tidak perlu nak fikirkan nasib rakyat yang susah,yang penting kita banggunkan bangunan dah tentu ada habuannya tak banyak ada juga sedikit,hari ini jika kita cakap,dia tidak mahu duit dah kaya,maka orang yang bodoh dan gila sahaja yang tidak mahu duit,hiduplah didunia yang nyata,kita ada 2 perkara yang tidak boleh dipisahkan,1 DUIT.2 PEREMPUAN. saudara2 pergilah dimana2,jika ada duit semua boleh buat?